Wednesday, January 17, 2007

More news related to the industry

Ubahsuai dapur RM4.5juta: AMK tuntut penjelasan MB

Terowong SMART dibuka kepada kereta tidak lama lagi


SHAH ALAM 16 Jan. – Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) Kuala Lumpur yang sedang dibina oleh Gamuda Bhd. bersedia untuk dibuka kepada para pemandu tidak lama lagi, kata Pengarah Urusan kumpulan syarikat itu, Datuk Lin Yun Ling.

Disifatkan sebagai yang pertama di dunia bagi dua kegunaan, SMART dibina untuk mengurangkan masalah banjir, dijangka disiapkan dan beroperasi menjelang Jun tahun ini.

Projek itu mengandungi dua bahagian.

“Sebahagian ialah terowong jalan raya kereta. Saya telah melawatnya minggu lepas, mereka sedang membersihkan dan membuat kerja terakhir,” Lin memberitahu pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

“Jadi kami bersedai untuk membukanya kepada kereta-kereta tidak lama lagi,” katanya.

Yun Ling berkata, ‘Laluan Kereta Smart’ sepanjang empat kilometer, sebahagian daripada projek Terowong Smart berharga RM2 bilion itu, akan dibuka kepada orang ramai sebaik bahagian akhir laluan kereta itu disiapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya fikir DBKL sedang bekerja pantas ke atas satu bahagian untuk menyambungkan ke Jalan Sultan Ismail, di hadapan Hotel Parkroyal. Saya fikir mereka mungkin akan menyiapkannya menjelang pertengahan atau akhir bulan Mac. Kemudian, ia akan dibuka kepada orang ramai,” katanya.

Satu lagi komponen projek itu — pembinaan terowong 9.7 kilometer untuk mengalirkan air banjir — dijadual siap menjelang bulan Jun tahun ini.

Terowong bawah tanah berukuran garis pusat 11.8 meter bermula dari Kampung Berembang dekat Hospital Gleneagles di Jalan Ampang di kuala Sungai Ampang dan melalui d bawah beberapa bahagian bandaraya sebelum ia berakhir di kolam simpanan air di Taman Desa dekat Jalan Klang Lama.

Sebaik siap, projek Terowong Smart dijangka membantu mengurangkan banjir dengan besarnya dalam bandar raya ini sekurang-kurangnya 50 peratus dan mengurangkan kesesakan lalu lintas dari lebuh raya ke bandar raya.

Pemandu-pemandu kereta yang menggunakan terowong itu akan mengambil empat minit untuk sampai ke daerah membeli belah Bukit Bintang dari Sungai Besi berbanding dengan lebih dari setengah jam, bergantung kepada keadaan lalu lintas, apabila menggunakan jalan permukaan biasa.

Sebagai langkah keselamatan, hanya kereta-kereta penumpang akan dibenarkan menggunakan terowong itu manakala bas-bas, lori-lori dan motosikal akan dilarang.


Tuesday, January 16, 2007

Related news to construction industry

Tapak projek sarang maksiat

Mesej burukkan MB

Ketirisan

JKR perlu pantau projek elak berlaku ‘ketirisan’

http://www.utusan.com.my

lain2 berita

Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM

SEREMBAN 15 Jan. – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegur Jabatan Kerja Raya (JKR) yang disifatkan gagal memantau dengan baik setiap projek kecil yang dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen.

Menurut beliau, kegagalan itu menyebabkan kebanyakan kualiti projek berkenaan terutamanya balai raya dan jalan raya tidak mencapai tahap minimum menyebakan ia mudah rosak.

“Saya pelik kerana setiap tahun bajet untuk projek-projek kecil yang diberikan oleh kerajaan pusat sebanyak RM3 juta kepada Parlimen di negeri ini banyak dihabiskan untuk baik pulih balai raya dan jalan raya.

“Setiap tahun projek yang dibuat ialah baiki balai raya dan jalan, benda ini berlaku adakah kerana kualiti pembinaannya yang teruk atau dasar dan polisi JKR sendiri yang perlu dirombak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta pegawai-pegawai kerajaan di sini hari ini.

Mohamad berkata, setiap tahun kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sehingga berpuluh-puluh juta kepada kawasan Parlimen untuk menyediakan projek-projek kecil tetapi sayangnya berlaku ‘ketirisan’.

Beliau percaya ‘ketirisan’ berlaku bukannya di peringkat tender kerana ia dibuat secara cabutan undi tetapi kemungkinan besar ia berlaku di peringkat pemantauan badan pelaksana agensi kerajaan seperti JKR.

“Agensi kerajaan kena pastikan setiap projek yang diperoleh dibuat dengan secara betul mengikut spesifikasi dan prosedur yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Justeru itu, katanya, sekiranya ‘ketirisan’ berlaku kerana dasar atau prosedur yang sudah lapuk, maka jabatan kerajaan perlu mengenal pastinya termasuk merombak bagi disesuaikan dengan kehendak dan kepentingan semasa tanpa membelakangkan undang-undang.

Friday, January 12, 2007

KECELAKAAN DI TAPAK BINA


Dua maut perancah tapak binaan The Pavillion runtuh

Petikan dari Utusan online
Oleh S. ANAND KUMAR dan KHAIRUL AZRAN HUSSIN

KEADAAN di tapak pembinaan The Pavillion, yang mana perancah di bangunan itu runtuh dan mengakibatkan dua pekerja binaan terbunuh di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Jan. – Dua buruh binaan maut manakala 10 lagi cedera apabila perancah yang mereka naiki terjatuh dari ketinggian kira- kira 15 meter di tapak pembinaan kompleks The Pavillion Kuala Lumpur, di Jalan Bukit Bintang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, dua pekerja binaan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah dipercayai dihempap batu granit.

Mangsa yang terbunuh ialah rakyat tempatan dikenali sebagai Liew Wan Chew, 50, dan warga Myanmar dikenalpasti sebagai Hram UK, 25.

Semua mangsa yang cedera berketurunan Punjabi dan berasal dari India. Mereka kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Penolong Pengurus Keselamatan dan Kesihatan Pembinaan Putra Perdana Sdn. Bhd. (PPCSB), syarikat kontraktor utama projek itu, Mejar (B), Abu Bakar Abdul Rahman berkata, pihaknya mendengar bunyi gegaran yang kuat di kawasan pembinaan berdekatan Zon A berdekatan pintu lima The Pavillion ketika kejadian.

‘‘Apabila kami pergi melihat ke tempat kejadian, didapati perancah yang digunakan oleh pekerja memasang batu granit di tingkat tiga bangunan telah roboh dan menghempap perancah di bawahnya iaitu di tingkat dua.

Cedera

‘‘Pada waktu itu kira-kira tujuh orang pekerja berada di atas perancah manakala lima orang lagi sedang bekerja di bawahnya.

‘‘Kami mendapati beberapa pekerja yang cedera terbaring kemungkinan akibat jatuh bersama perancah yang roboh,’’ katanya kepada pemberita ketika membentangkan laporan kemalangan di sini, hari ini.

Difahamkan, berat satu batu granit ialah 50 kilogram (kg) dan semasa kejadian terdapat 10 batu granit bersama tujuh pekerja tersebut.

Menurut Abu Bakar, pihaknya membuat pertolongan cemas dengan mengeluarkan mereka yang cedera.

Tambahnya, pegawai keselamatan dan beberapa orang pegawai PPCSB telah membuat panggilan ke HKL untuk meminta bantuan kecemasan.

‘‘Beberapa ambulans tiba kira-kira 10 minit kemudian. Kami juga telah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Balai Bomba dan Pejabat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) berhubung perkara itu.’’ katanya.

Menurut beliau, semua pekerja yang terlibat adalah dari syarikat Usaha Tiga Sdn. Bhd., iaitu subkontraktor kepada PPCSB.

Pekerja-pekerja itu sedang menjalankan kerja-kerja memasang batu granit pada dinding kompleks di atas perancah.

‘‘Pihak kami mempunyai pasukan keselamatan dan kesihatan yang mencukupi dan berpengalaman untuk membuat pemantauan keselamatan.

‘‘Namun apa yang berlaku hari ini adalah tidak dapat dielakan dan amat dikesali,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abd. Rahman berkata, perancah yang membawa kesemua buruh binaan bersama muatan batu granit itu dipercayai melebihi muatan sebelum ia terjatuh menghempap bahagian bawahnya.

‘‘Ekoran kejadian ini kerja pembinaan akan dihentikan buat sementara waktu bagi siasatan lanjut dijalankan,’’ ujarnya ketika ditemui ditempat kejadian.

Menurut beliau, mayat dibawa ke HKL untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga masing-masing.

web stats