Monday, December 24, 2007

NadiBiz: Mohd Azman 'saudagar' maya

Oleh Azli Ayob


Mavtrac jadi hab bekal bahan mentah projek pembinaan luar negara

SOGO Sosha merujuk kepada syarikat perdagangan am Jepun yang mengendalikan pengimportan serta pengeksportan barangan negara matahari terbit itu.

Di bawah konsep berkenaan, jika sesebuah firma Jepun mendapat kontrak pembinaan di luar negara, ia hanya perlu pergi kepada Sogo Sosha untuk mendapatkan pelbagai barangan atau perkhidmatan yang diperlukan.

Penubuhan Mavtrac Sdn Bhd, firma perdagangan maya yang menjadi pusat sehenti bagi kontraktor binaan mendapatkan bahan mentah penting bagi projek pembinaan adalah pembuka jalan kepada Malaysia untuk mewujudkan Sogo Sosha sendiri.

Itulah juga matlamat Ketua Eksekutifnya, Mohd Azman Sulaiman.

“Kita sudah ada Mitco (Malaysian International Trading Co) yang banyak terbabit dalam kontrak diperoleh Petronas di luar negara.

“Matlamat saya pula adalah untuk mewujudkan syarikat berasaskan model itu tetapi lebih mirip kepada syarikat perdagangan am Jepun, Sogo Sosha supaya apabila sebuah syarikat Malaysia mendapat kontrak di luar negara, mereka tidak perlu lagi mencari syarikat dari negara lain untuk mendapat bekalan sebaliknya mendapatkan sumber daripada syarikat Malaysia itu sendiri,” katanya.


Itulah kesungguhan dipamerkan anak kelahiran Parit, Perak yang bertanggungjawab mengemudi firma perdagangan maya yang mengkhusus dalam membekalkan bahan mentah untuk projek pembinaan, terutama yang dilaksanakan untuk menjayakan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Mohd Azman, 43, sedar tanggungjawabnya sebagai Ketua Eksekutif di Mavtrac, sebuah unit di bawah Kumpulan UEM bukan bermakna sekadar berkhidmat kepada syarikat itu.

“Mavtrac mempunyai banyak agenda dan bukan hanya melihat kepada aspek perniagaan.


PELANCARAN: Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendy Norwawi merasmikan Mavtrac diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Bhd Datuk Ahmad Pardas Senin (kiri); Pengerusi Kumpulan UEM, Tan Sri Tajuddin Ali (dua dari kanan) dan Mohd Azman pada 2 November lalu.

“Kami ada tanggungjawab sosioekonomi iaitu membantu kontraktor kecil terutama Bumiputera mendapatkan bekalan tetapi tidak pernah meminggirkan bukan Bumiputera yang selalunya menjadi pembekal kerana Mavtrac tidak mengamalkan monopoli bahan binaan,” katanya.

Disebabkan itulah juga beliau sanggup menerima cabaran memikul tanggungjawab menerajui Mavtrac.

Beliau berkata, tanggungjawab yang diberikan itu bukan sekadar dilihat sebagai peluang meningkatkan kerjayanya di UEM yang disertai sejak 1993 tetapi sebagai peluang menyumbangkan bakti kepada negara.

“Penubuhan Mavtrac sebenarnya adalah untuk mengekalkan tradisi Malaysia yang sudah terkenal sebagai pusat perdagangan utama sejak zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dulu.

“Tanggungjawab sebagai Ketua Eksekutif Mavtrac adalah untuk memastikan Malaysia dapat mengekalkan kegemilangan sebagai sebuah negara perdagangan terulung tanpa mengorbankan nilai kejujuran dalam menjalankan sesuatu perniagaan,” tegasnya.

Kegemilangan itu perlu diteruskan kerana menurut Mohd Azman lagi, sejak berabad lamanya, Malaysia telah mencipta tradisi dengan menjadi hab perdagangan dunia.

Sejak abad ke-15, Selat Melaka menjadi laluan utama kepada pedagang rempah, hinggalah awal abad ke-19 yang mana timah dan getah menjadi komoditi utama, Malaysia juga berkembang maju menjadi hab pertukaran kebudayaan dan peradaban antarabangsa.

Hari ini, sebagai pemangkin kepada pertumbuhan Asia Tenggara dan serantau, Malaysia telah menjadi hab perdagangan pelbagai produk dan perkhidmatan.

“Kejayaan untuk terus memelihara hubungan jangka panjang dan rangkaian dagangan yang luas menerusi penerapan nilai tradisi perdagangan akan dapat dikongsi bersama dengan adanya keinginan untuk terus memacu perkembangan yang berterusan,” kata Mohd Azman.

Kerajaan Malaysia, katanya, telah memacu untuk mewujudkan Mavtrac, syarikat perdagangan negara yang mengkhusus kepada bidang perdagangan dan pembekalan bahan binaan yang bertindak sebagai pusat perdagangan bagi bahan pembinaan dan pembangunan untuk industri tempatan.

Sebagai orang penting Mavtrac, Mohd Azman Sulaiman mempunyai rencananya yang tersendiri bagi mengembangkan syarikat diterajuinya.

“Satu hari nanti, Mavtrac akan menjadi rakan dagangan virtual kepada syarikat di Malaysia yang berkembang merentasi sempadan perniagaan global,” katanya.

Perkataan ‘virtual’ dalam Mavtrac adalah bertujuan untuk menggambarkan satu entiti yang berintegrasi secara ‘virtual’ dalam komuniti perdagangan dan pembekalan yang menghubungkan pembekal dan kontraktor dengan mudah tanpa sebarang halangan.

Apa yang paling penting, katanya, Mavtrac akan memelihara hubungan jangka panjang yang dibina berasaskan keikhlasan, ketelusan dan keinginan yang kuat untuk mencapai kejayaan bersama-sama dengan rakan rangkaian pembekalan.

Mohd Azman memegang ijazah Sarjana Muda Sains daripada Universiti Malaya, Sarjana dalam Kejuruteraan Geoteknikal dari United Kingdom dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Australia.

Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 18 tahun dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan, pembangunan hartanah, minyak dan gas dan juga dalam sektor korporat.

Jawatan terakhir beliau sebelum dilantik ke jawatan sekarang adalah Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan UEM.

Beliau juga menjadi teraju kepimpinan dalam merealisasikan model perniagaan VTC menerusi penubuhan Mavtrac.

Sunday, December 23, 2007

Kos RM12.5 bilion projek landasan berkembar tak masuk akal!


http://www.detikdaily.net/m3/modules.php?name=News&file=article&sid=1298


Posted on Wednesday, December 19 @ 20:19:28 EST by reformis


Fokus Isu

Abdullah Ahmad Badawi amat gemar berbelanja malah perbelanjaan yang dilakukan olehnya berkali ganda berbanding dengan Tun Mahathir ketika di puncak kuasa. Kalau dinisbahkan kegilaan Abdullah Ahmad Badawi berbelanja dengan Tun Mahathir, kita boleh mendapat nisbah 5:1.



Oleh Ketua Perusuh

Dalam diam beberapa pihak kini sedang bersedia untuk mengira jumlah keuntungan yang mereka akan dapat dari beberapa projek berskala besar (mega) di Malaysia. Rata-rata beberapa inisiatif Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi & Co memperlihatkan angka-angka yang amat besar (berskala mega juga).

Mana tidaknya, dengan pelancaran beberapa koridor ekonomi yang membabitkan nilaian berbilion ringgit serta jambatan kedua Pulau Pinang, rasanya kita boleh melihat akan kesungguhan Kerajaan Malaysia berbelanja. Persoalan yang selalu bermain di minda saya ialah bagaimana Kerajaan Malaysia akan membiayai perbelanjaan tersebut.

Jika anda masih ingat mengenai inisiatif pembinaan Jambatan Pulau Pinang yang melibatkan kos sehingga RM3 bilion, anda tentu terkejut “beruk” apabila mengetahui bahawa Kerajaan Malaysia telah meluluskan pembinaan Landasan Keretapi Berkembar dari Ipoh ke Padang Besar yang melibatkan jumlah sebesar RM12.5 Bilion.



Jambatan Kedua Pulau Pinang tersebut mendapat suntikan modal dari EXIM Bank of China kerana dikhabarkan Kerajaan Malaysia tidak mampu untuk membiayai nilai keseluruhan perojek tersebut yang bernilai RM3 bilion. Tapi kini untuk Landasan Keretapi Berkembar yang bernilai RM12.5 bilion, Abdullah Ahmad Badawi & Co telah menyakinkan semua bahawa kerajaan mampu untuk membiayai projek tersebut tanpa bantuan pihak swasta.

Inilah yang ajaibnya dengan perbelanjaan pembangunan di Malaysia. Saya dapat rasakan bahawa akan terdapat pihak yang mengambil laba yang besar pada kes Jambatan Kedua Pulau Pinang. Malah saya juga merasakan sesuatu yang amat pelik apabila Landasan Keretapi Berkembar ini telah dinilaikan pada RM36,944 untuk setiap meter.

Pada saya kos yang dicadangkan ini terlalulah mahal dan tidak berpadanan. Malah boleh dikatakan bahawa kos yang dicadangkan ini amat luar biasa dan penuh dengan tanda-tanda rasuah di dalamnya. Malah peningkatan kos dari RM8 bilion pada empat tahun yang lalu kepada RM12.5 bilion adalah satu peningkatan yang tidak masuk akal.

Abdullah Ahmad Badawi amat gemar berbelanja malah perbelanjaan yang dilakukan olehnya berkali ganda berbanding dengan Tun Mahathir ketika di puncak kuasa. Kalau dinisbahkan kegilaan Abdullah Ahmad Badawi berbelanja dengan Tun Mahathir, kita boleh mendapat nisbah 5:1.

Persoalan yang sepatutnya semua rakyat Malaysia persoalkan adalah bagaimana kita (Malaysia) akan mampu membayar semua perbelanjaan ini jika pendapatan kasar negara kurang dari separuh daripada kos perbelanjaan yang dilakukan.

Perlukah kita membayar semua perbelanjaan gila ini dengan kulit kerang atau daun pisang? Kalaulah kita boleh membayar dengan kulit kerang atau daun pisang, tentulah ianya amat bagus.

Namun yang pasti tiada siapa pun didalam dunia ini ingin menerima kulit kerang sebagai bayaran. Pada zaman batu memang ramai yang menerima kulit kerang sebagai matawang.

Sampai bilakah Abdullah Ahmad Badawi akan berbelanja?

Adakah sehingga kantung negara kempis ataupun negara ini terjual kepada pihak asing barulah Abdullah Ahmad Badawi akan berhenti berbelanja secara mewah.

Saya bukanlah tidak suka (menentang) pembangunan akan tetapi saya amat risau bagaimana kita boleh membiayai kos pembangunan tersebut. Seperti pepatah Melayu “Ukurlah baju dibadan sendiri” amatlah bertepatan ditanya kepada Abdullah Ahmad Badawi & Co.

Janganlah berbelanja seperti orang yang menggunakan kad kredit yang akhirnya akan mengikat diri mereka sendiri. Lebih baik berbelanja seperti orang yang menggunakan kad debit dimana mereka akan berbelanja mengikut kemampuan.

Jadi, fikir-fikirkanlah. - ketuaperusuh.wordpress.com

Sekolah retak gegaran

Forum


PARA penduduk telah digemparkan dengan berita gegaran yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Walaupun pihak berkuasa menasihatkan penduduk terlibat tidak panik kerana gegaran yang berlaku hanyalah gegaran kecil yang tidak memberi kesan kepada kerosakan yang nyata namun kami yang mempunyai anak-anak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi merasa bimbang dengan fenomena ini.

Kami penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik hampir setiap hari merasa gegaran.

Sepanjang tahun lepas dan tahun ini, anak-anak kami ada beberapa kali menceritakan tentang keretakan besar yang begitu banyak terdapat di lantai dan dinding sekolah yang mula beroperasi pada tahun 2003 ini.

Saya sendiri beberapa kali pernah datang ke sekolah semasa majlis perjumpaan dengan ibu bapa ataupun mesyuarat agung PIBG dan saya dapat menyaksikan sendiri betapa kritikalnya keretakan ini berdasarkan keretakan pada longkang dan dinding di tingkat bawah.

Saya juga dapat melihat betapa bangunan ini kelihatan hampir condong ke arah gaung di belakang sekolah.

Apa yang lebih membimbangkan, saya dimaklumkan bahawa di blok yang retak inilah ditempatkan kelas anak-anak dari tingkatan 1 dan 2, lebih membahayakan mereka ditempatkan di tingkat 4.

Saya merasa sungguh sedih dan kesal dengan pentabdiran sekolah yang nampaknya cuba untuk menutup masalah ini hanya dengan menampal keretakan dan seterusnya asyik menuding jari ke arah PPD dan JPNP apabila disoal oleh pihak ibu bapa.

PIBG juga nampaknya hanya mendiamkan diri. Janganlah dah terhantuk baru terngadah, jangan tunggu sekolah sudah runtuh baru melatah, jangan ada nyawa melayang, baru buat siasatan.

– BAPA TERTEKAN,

Bentong, Pahang.

Syarikat tempatan labur RM38j kilang buat lantai


Oleh Abdul Razak Din

GERIK 22 Dis. – Sebuah syarikat tempatan bercadang melabur sebanyak RM38 juta untuk membangunkan kilang membuat lantai daripada buluh di Bandariang di sini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Beliau berkata, pembinaan kilang tersebut dapat membantu merancakkan lagi pembangunan di daerah Hulu Perak yang sedang dibangunkan dengan projek Northgate berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

‘‘Kita berharap projek ini dapat disegerakan supaya ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan merancakkan pembangunan ekonomi di utara Perak,” katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, Bandariang berdekatan Felda Bersia merupakan kawasan paling banyak ditumbuhi buluh pelbagai spesies yang sesuai untuk dijadikan produk komersial.

Dalam hubungan ini, Mohd. Tajol Rosli berkata, pihaknya tiada masalah untuk meluluskan projek tersebut kerana ia akan memberi pendapatan kepada kerajaan negeri dan penduduk.

Sebelum ini beliau mengumumkan bahawa kawasan perlombongan bijih timah terbesar di Perak di Klian Intan di sini yang dimiliki oleh Rahman Hydraulic Sdn. Bhd akan dibangunkan semula oleh Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC).

Beliau berkata, pembukaan semula kawasan perlombongan yang terhenti semasa kejatuhan harga timah itu mampu memberi peluang pendapatan ekoran kenaikan tinggi harga timah sekarang.

Katanya, kerajaan negeri menganggarkan memperoleh royalti berjumlah sekurang-kurangnya RM1 juta setahun melalui pembukaan kawasan bijih timah ini.

Wednesday, December 19, 2007

Rumah diresapi air


AMPANG: Kebocoran tangki utama di Blok B, Pangsapuri Sri Baiduri di Ukay Perdana di sini, menjadi semakin serius apabila dinding rumah penduduk mula retak.

Empat rumah di tingkat empat pangsapuri itu mengalami kesan paling teruk, apabila air menitis dari siling sehingga merosakkan struktur kayu dalaman rumah.

Aduan sudah dibuat wakil penduduk kepada pengurusan pangsapuri itu dan sebagai langkah sementara, mereka menampal simen di tempat yang terjejas.

Bagaimanapun, masalah sama masih berulang menyebabkan penduduk tidak puas hati terhadap pengurusan pangsapuri yang tidak mengikut piawaian.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, air yang menitis dari siling rumahnya meninggalkan tompok hitam di beberapa tempat dan berkulat.

"Masalah ini makin serius sejak dua tahun lalu dan aduan kepada pihak pengurusan pangsapuri tidak mendatangkan sebarang manfaat, melainkan tangki itu diganti.

"Kebocoran pada bahagian dasar tangki punca utama masalah ini, jika tidak diambil perhatian mungkin satu hari nanti siling rumah akan runtuh," katanya.

Juruteknik Suruhanjaya Bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Roziha Abd Aziz, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada pengurusan pangsapuri berkenaan berhubung masalah berkenaan, 10 Disember lalu.

Bagi aduan yang dibuat, pihaknya hanya boleh mengeluarkan surat untuk mengarahkan pengurusan memperbaiki kebocoran.

Wednesday, December 12, 2007

KESILAPAN REKABENTUK YANG MENGUNDANG BAHAYA KEPADA RAKYAT

Tujuh maut, empat parah bas rempoh lori di Tol Jelapang

IPOH 11 Dis. - Tujuh orang terbunuh dan 28 cedera, empat daripadanya parah, apabila sebuah bas membawa rombongan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah, merempuh belakang sebuah lori tangki di Plaza Tol Jelapang menghala ke selatan di Lebuh Raya Utara Selatan awal hari ini.

Mereka yang meninggal dunia dalam nahas pada 4 pagi tadi ialah pemandu bas, Lim Teh Lee, 49; pemandu kedua, Saad Salleh, 45; serta anggota rombongan, Siti Rosedah Ibrahim, 46; Puteh Mat Isa; Mohamad Hussin, 50; Dahara Mohamad; dan Nur Shuhadah Muhamad, 15.

Empat yang cedera parah di bahagian kepala dan badan ialah Che Som Yusoff, 51; Halijah Hanafiah, 52; Sipah Sulaiman; dan seorang lelaki yang identitinya belum diketahui.

Seramai 16 lagi turut dimasukkan ke Hospital Ipoh, manakala lapan dirawat sebagai pesakit luar, kata Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias.

Mereka yang menerima rawatan di wad dan dirawat sebagai pesakit luar ialah Fatihah Shafie, 14; Zurina Nayan, 47; Mohd Aminuddin Ramli, 20; Fatimah Rojaan, 40; Hakis, 8; Hasiah Lebai Cha, 53; Rohani Hashim, 56; Umi Kalsom Wan Dollah, 16; Mohd Shukri Hasin, 8; dan Haminah Nikmat, 56.

Nurfazilah Abdullah, 14; Mohd Muhsi Ahmad, 11; Faridah Mohd Nor, 44; Nurhashimah Mohd, 18; Shamshum Ishak, 52; Mastura Izzati Mat Isa, 17; Shahhasliza Hussein, 22; Habibah Yaakub, 33; Yom Wahab, 52; Assariza Derani, 38; Siti Aishah Saidin, 17; dan Normah Hanafi.

Dua lagi wanita yang identiti mereka belum dikenal pasti turut menerima rawatan.

Rombongan itu, yang dalam perjalanan untuk bercuti di Cameron Highlands, bertolak pada 12 tengah malam tadi dari Masjid Kubang Jawi di Kuala Kedah, yang menjadi tempat mereka berkumpul.

Seorang daripada penumpang yang cedera, Haminah Nikmat berkata, bas berkenaan dipandu dengan laju ketika memasuki dan melepasi Terowong Menora yang terletak beberapa kilometer dari Plaza Tol Jelapang.

“Lepas sahaja terowong itu, bas memang laju. Bila nak dekat sampai (plaza tol) tiba-tiba orang depan menjerit... brek tak makan. Makcik duduk bahagian tengah, lepas bas rempuh lori depan, habis bahagian depan dan kusyen yang makcik duduk pun rapat dengan bumbung bas,” katanya.

Beliau berkata, semasa bas persiaran itu merempuh lori, semua penumpang berteriak meminta tolong, manakala barang-barang mereka bertaburan.

Seorang lagi penumpang, Mastura Izzati berkata, beliau terjaga daripada tidur ketika penumpang lain menjerit meminta tolong.

“Saya tengok semua penumpang semuanya dah tertolak ke bahagian depan bas. Kerusi yang saya duduk pun patah. Keadaan dalam bas memang kelam-kabut dan penumpang panik sebab takut bas meletup selepas dengar bunyi enjin meletup dan ada asap,” katanya.

Umi Kalsom Wan Dollah, dari Kampung Pida 2 1/2, Jitra, yang mengalami kecederaan di bahagian muka, turut mengakui, bas dipandu dengan laju ketika menuruni cerun berbukit dari Terowong Menora menuju ke plaza tol.

- Bernama

Monday, December 10, 2007

Tahniah Datuk Seri

72 masakan diwarta warisan kebangsaan

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Sebanyak 72 jenis masakan tradisional pelbagai kaum di negara ini akan diwartakan sebagai Masakan Warisan Kebangsaan bagi memastikan masakan tersebut tidak pupus ditelan zaman.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa), Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kementerian akan mendapatkan persetujuan rakyat terutama pakar masakan daripada golongan tua sebelum masakan itu diwartakan.

“Makanan yang hendak diwartakan itu akan ditentukan secara rasmi bukan sahaja dari asal-usulnya, malah termasuk bahan ramuan dan cara hidangannya kerana itu ia perlu merujuk mereka yang benar-benar pakar.

“Ia bakal dibukukan tetapi ia kini dalam satu kajian yang mendalam dan komprehensif sebelum kita dapat wartakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pesta Makanan Warisan 2007 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Jenis makanan termasuk Sambal Neraka (Siam), Nasi Banchaan (Jawa), Nasi Periuk Kera (Sarawak), Niang Tau Fu Bok (Cina), Sambal Gerangau (Chettiar), Gedonchak (Pulau Pinang), adalah antara hampir 170 masakan yang unik dipamerkan di pesta yang pertama kali diadakan oleh KeKKWa itu.

Dalam pada itu, Dr. Rais berkata, pihaknya akan mengambil alih Bangunan Sultan Abdul Samad, di sini dan kawasan persekitarannya termasuk Dataran Merdeka bagi menempatkan KeKKWa bermula pada tahun hadapan.

“Dengan menelan kos sebanyak RM35 juta, kerja-kerja pengubahsuaian, hiasan dalaman dan landskap sedang berjalan rancak,” katanya.

web stats