Friday, November 23, 2007

Tanah runtuh: Lebuh raya sesak teruk

kategori : runtuh

Oleh TAJUL SAFUAN ABU HASSAN

Tanah runtuh menghempap sebuah lori di Kilometer 64, Jalan Kuala Kangsar - Taiping berdekatan Bukit Berapit, semalam turut menjejaskan Lebuh Raya Utara-Selatan bersebelahan sehingga berlaku kesesakan teruk. – Gambar MOHD NAJIB MOHD NOR.


KUALA KANGSAR 22 Nov. – Tanah runtuh di Kilometer 64, Jalan Taiping-Kuala Kangsar di sini pagi ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di kedua-dua arah Lebuh Raya Utara-Selatan.

Lokasi kejadian itu yang betul-betul bersebelahan dengan lebuh raya berkenaan iaitu di KM231.6 telah memaksa satu lorong lebuh raya tersebut ke arah selatan ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.

Jalan Taiping-Kuala Kangsar turut ditutup untuk semua kenderaan akibat kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang pemandu lori pasir nyaris maut apabila lori yang dipandunya diheret timbunan tanah runtuh di jalan itu.

Mangsa, Tay Hock Kee, 56, berjaya menyelamatkan diri walaupun lorinya terbalik akibat runtuhan tanah yang menumbangkan beberapa batang pokok.

Hock Kee ketika ditemui pemberita di sini hari ini berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan untuk menghantar pasir dari Trong ke kilang simen YTL yang terletak hanya dua kilometer dari tempat kejadian.

‘‘Kejadian itu berlaku dengan pantas dan amat memeranjatkan saya. Tiba-tiba saja saya rasa lori bergerak ke kanan jalan raya dan apabila saya menoleh ke belakang, tanah dan pokok sudah menghempap lori.

‘‘Bagaimanapun, nasib saya baik kerana tanah runtuh itu hanya menimbus bahagian belakang lori dan saya dapat keluar dengan selamat,” katanya yang hanya cedera ringan di kaki.

Menurut Hock Kee, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata dan dia langsung tidak menyedari kejadian tanah runtuh tersebut.

Katanya, nyawanya juga masih panjang kerana selepas lorinya terbalik di lorong bertentangan, mujur tidak ada sebarang kenderaan lain melalui jalan itu.

‘‘Sebuah lori lain yang berada di belakang juga sempat membrek selepas melihat lori saya tertimbus dengan tanah runtuh.

‘‘Nasib baik lori itu tidak terus terseret ke lebuh raya, kalau tidak saya tidak tahu apa akan berlaku kerana kenderaan memang banyak pada masa itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Ir. Wong Wai Ching berkata, kejadian tanah runtuh itu mungkin disebabkan oleh dua buah kolam ikan di atas bukit itu pecah.

Katanya, tinjauan awal JKR mendapati air dari kolam ikan tersebut telah melimpah keluar dan menyebabkan tanah menjadi lembap dan mudah runtuh.

‘‘Kita belum dapat pastikan sama ada limpahan berkenaan adalah punca sebenar kejadian tanah runtuh ini.

‘‘Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mencari punca kejadian,” katanya.

Beliau menambah, kerja-kerja pembersihan runtuhan tanah sedang giat dijalankan dan lorong di Lebuh Raya Utara-Selatan hanya akan dibuka pada pukul 4 petang ini.

Katanya, Jalan Taiping-Kuala Kangsar pula akan hanya dibuka kepada kenderaan awam selepas pukul 8 malam ini.

web stats