Wednesday, November 14, 2007

Bangunan PTNP Tasik Banding runtuh

Kategori : Runtuh

Oleh ABDUL RAZAK DIN


RUNTUH... Bangunan dua tingkat yang hampir siap dan bakal menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum di tebing Tasik Banding, Gerik, Perak, ranap sama sekali dalam kejadian awal pagi semalam. – Gambar HANAFI KHAMIS.

GERIK 13 Nov. – Sebuah bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang sudah hampir siap di Tasik Banding di sini, runtuh sama sekali dipercayai akibat kerosakan pada struktur.

Yang menjadi persoalan ialah bagaimana bangunan yang sepatutnya menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum dan dibina dengan kos jutaan ringgit itu boleh runtuh sekelip mata.

Ia seolah-olah menggambarkan pembinaannya yang terletak di lereng Tasik Banding itu tidak dipantau dengan betul dan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut saksi, separuh daripada struktur bangunan yang dibina sejak empat tahun lalu itu runtuh pada pukul 8 pagi ini dan ranap sepenuhnya kira-kira pukul 10 pagi.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian runtuhan bangunan yang belum diduduki itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, di samping bangunan yang runtuh itu, terdapat juga kejadian tanah runtuh di bahagian belakang bangunan yang dibina di lereng Tasik Banding tersebut.

Bangunan tersebut dipercayai dibina oleh kontraktor swasta.

Seorang penduduk yang juga saksi kejadian, Bileh Jalil, 18, berkata, beliau menyedari bangunan itu runtuh kira-kira pukul 8 pagi setelah terdengar bunyi yang kuat dari kawasan berkenaan.

Katanya, semasa kejadian beliau berada di sebuah gerai berhampiran jeti yang digunakan untuk berulang-alik ke sekitar pulau-pulau di Tasik Banding.

Menurutnya, selang dua jam kemudian satu lagi runtuhan berlaku, iaitu kira-kira pukul 10 pagi yang sekali gus meranapkan keseluruhan struktur bangunan berkenaan.

“Saya tidak sangka bangunan itu runtuh sama sekali kerana tiada kejadian hujan lebat berlaku semalam dan air di kawasan berkenaan sudah surut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Katanya, semasa kejadian lima orang pekerja termasuk dua Orang Asli sedang menyiapkan kerja-kerja di kawasan bangunan berkenaan.

“Saya percaya tiada kemalangan jiwa berlaku di kawasan runtuhan tersebut kerana mereka bekerja di luar kawasan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Perak, Supritendan Maahad Mohd. Nor ketika dihubungi berkata, polis sehingga kini belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Thursday, November 15, 2007

Bangunan RM4.5 juta ranap: Perunding, kontraktor disiasat

Category : Runtuh

(Bernama) - Satu badan profesional akan menjalankan siasatan termasuk terhadap perunding dan kontraktor berhubung kejadian runtuhan bangunan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di lereng Tasik Banding di Gerik semalam.
Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata badan profesional itu akan dilantik selepas selesai perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya yang akan memberi panduan dan nasihat kepada kerajaan negeri.
"Kejadian itu sebenarnya berlaku sedikit demi sedikit (dan) menurut pegawai PTNP, JKR telah siasat dan telah melakukan kerja pengukuhan supaya bangunan ini tidak runtuh selepas PTNP mendapati ada berlakunya kecondongan tanah dalam tempoh dua dan tiga minggu lepas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan awal JKR yang membuat pemeriksaan ke tapak lawatan, kejadian itu mungkin disebabkan terdapatnya satu atau dua cerucuk atau tiang yang lemah sehingga ia tidak boleh menampung struktur bangunan yang pembinaan fasa pertamanya mendapat peruntukan RM4.5 juta daripada Kementerian Pelancongan.

"Cerucuk atau tiang-tiang lain pula tidak dapat menampung beban yang semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal JKR juga, tiang atau cerucuk yang lemah itu mungkin disebabkan oleh ketidaksesuaian reka bentuk, bahan binaan, kerja pembinaan serta kualiti.
Bangunan itu, yang menempatkan ruang pejabat, bilik pameran jualan, bilik penginapan serta tempat letak kereta, merupakan satu projek bagi menyediakan kemudahan transit kepada pelancong yang ingin meneroka keindahan alam semula jadi dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum.
Semua operasi PTNP di pejabatnya yang terletak di Gerik belum berpindah ke kawasan baru itu kerana bangunan berkenaan belum diserahkan kepada perbadanan itu.
"Fasa pertama telah siap manakala fasa kedua tidak dijalankan lagi kerana ada penambahan bilik sehingga 26 dan 28 bilik seperti dicadangkan dan menjadi faktor kelewatan. Ini kerana jika lebih 28 bilik, ada cukai yang perlu dibayar," katanya.
Anggota Dewan Undangan Negeri Temenggor Datuk Hasbullah Othman berkata sebahagian bangunan itu dipercayai runtuh pada 8 pagi sebelum ranap terus kira-kira dua jam kemudian.
"Kita bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berkenaan.
Tapak bangunan yang menjadi pintu masuk ke Taman Negeri Royal Belum itu terletak di sebuah cerun bukit di tebing Tasik Temenggor.
Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perak telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu, kata pengarahnya Samsiah Abu Bakar.
"Kita akan menyiasat dan mengenal pasti jika terdapat sebarang aspek kesalahan atau penyelewengan dalam projek berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Samsiah berkata BPR akan bekerjasama dengan JKR untuk menyiasat setiap aspek bagi mengenal pasti punca kejadian sebelum tindakan diambil.

Friday, November 16, 2007

Unit Forensik BPR mulakan siasatan

kategori: runtuh

Oleh ABDUL RAZAK DIN dan ZAINI RABAN

IPOH 15 Nov. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menghantar sepasukan pegawai dari Unit Kejuruteraan Forensik, Putrajaya bagi membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur bangunan yang runtuh itu.

Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar berkata, pasukan itu akan membantu BPR negeri menjalankan siasatan bagi mencari punca keruntuhan itu bagi menentukan sama ada terdapat salah laku semasa pembinaannya.

“Sehingga kini BPR sudah mengenal pasti pihak yang terlibat dengan projek pembinaan bangunan dua tingkat tersebut yang telah menelan belanja sebanyak RM4.9 juta itu,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Wong Wai Ching akan mengetuai pasukan yang menyiasat kejadian bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang runtuh di lereng Tasik Banding di Gerik kelmarin.

Katanya, siasatan itu akan dimulakan sebaik sahaja semua terma dan objektif penyiasatan selesai dirumuskan.

Beliau percaya ia boleh disiapkan dalam tempoh sebulan.

Pasukan penyiasat tersebut turut dianggotai oleh beberapa pakar dari Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur serta pegawai-pegawai dari Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) yang merupakan profesional dalam bidang kejuruteraan.

‘‘Siasatan ini mengambil masa kerana bahan-bahan binaan yang digunakan untuk membina bangunan berkenaan perlu diuji secara teliti,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, selepas siasatan selesai dijalankan, laporan kajian itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri Perak dan juga Kementerian Kerja Raya.

Kelmarin, bangunan dua tingkat milik PTNP yang sudah hampir siap di lereng Tasik Banding runtuh sama sekali dipercayai akibat kerosakan pada strukturnya.

Laporan awal JKR menyatakan kelemahan pada cerucuk dan ketidaksesuaian reka bentuk bangunan mungkin menjadi punca bangunan pusat pentadbiran Taman Negara Royal Belum itu runtuh.

Sementara itu, satu sumber kerajaan negeri memberitahu Utusan Malaysia, pembinaan bangunan PTNP tersebut dipercayai dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat Design Dimension Architect Sdn. Bhd. (DDA).

Sumber memberitahu, syarikat berkenaan dikatakan telah dilantik oleh kerajaan negeri selaku perunding utama bagi projek bernilai RM3.7 juta itu.

Bagaimanapun, kerana beberapa masalah lain, nilai sebenar projek itu telah meningkat kepada RM4.9 juta dan bangunan itu hanya diserahkan kepada PTNP pada 21 Jun 2006, terlewat hampir setahun daripada jadual yang ditetapkan.

Syarikat DDA yang diamanahkan kerajaan negeri bagi memikul tanggungjawab pembinaan bangunan itu dikatakan melantik konsultan lain bagi menjalankan pembinaan tersebut.

Pihak yang dilantik oleh DDA ialah syarikat City Perunding Sdn. Bhd. selaku Perunding Struktur dan Bangunan, syarikat KH Zam Engineers Sdn. Bhd. (Perunding Mekanikal dan Elektrik) dan syarikat JB Consult (Perunding Ukur Bahan).

Syarikat Ribu Laksana (M) Sdn. Bhd. (Kontraktor Kelas B) yang beralamat di No. 82B, Jalan Leong Boon Swee, Ipoh pula dilantik sebagai kontraktor utama projek tersebut pada 30 Ogos 2004.

Kronologi lengkap kejadian tanah runtuh hingga Kompleks PTNP itu ranap sama sekali adalah seperti berikut:

* 23 September 2007 – Kejadian tanah runtuh pertama telah berlaku dan mengakibatkan bangunan Kompleks PTNP rosak dan merekah membabitkan 14 buah bilik dan empat dorms.

Ekoran itu, pihak JKR telah mengarahkan pihak konsultan secara serta-merta melaksanakan kerja-kerja pengukuhan cerun dan membuat kajian mendalam mengenai kestabilan cerun dan keselamatan bangunan tersebut.

* 30 Oktober 2007 – Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.

* 10 November 2007 – Lebih kurang pukul 6 pagi, runtuhan kedua berlaku mengakibatkan bahagian sayap kanan bangunan tersebut runtuh dan menyebabkan kerosakan di bahagian lain bangunan.

* 12 November 2007 – Kerajaan negeri telah melantik JKR negeri secara serta-merta sebagai Badan Penyiasat Bebas untuk menjalankan siasatan terperinci berkaitan kejadian bangunan runtuh tersebut.

* 13 November 2007 – Namun usaha itu agak terlambat apabila berlaku runtuhan tanah buat kali ketiga di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7 pagi yang mengakibatkan keseluruhan bangunan itu runtuh.

jelas di sini faktor utama keruntuhan ialah kestabilan cerun itu sendiri, namun faktur2 struktur dan rekabentuk juga memungkinkan berlakunya keruntuhan ini.- batalutu

Thursday, December 27, 2007

Perbadanan Taman Negeri Perak - bangunan runtuh

BPR mulakan siasatan PTN

KUALA LUMPUR 26 Dis. – Ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengarahkan BPR Perak menerus dan melengkapkan siasatan kes kompleks Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) di Pulau Banding, Gerik, Perak bernilai RM4.5 juta yang runtuh 13 November lalu.

Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull memberitahu, arahan melengkapkan siasatan itu dibuat setelah pihaknya menerima laporan awal daripada BPR Perak mengenai kes itu baru-baru ini.

Mengenai mereka yang akan disoal siasat atau diambil keterangan berhubung kes itu, beliau yang dihubungi Utusan Malaysia menjelaskan:

“Setakat ini saya belum terima maklumat berhubung berapa orang yang telah atau akan dipanggil beri keterangan.”

Ditanya kemungkinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali akan turut dipanggil oleh BPR Perak untuk memberi keterangan atas kapasitinya sebagai bekas Pengerusi PTNP, beliau berkata:

“Minta maaf sangat-sangat... Saya tak boleh cakap apa-apa, semuanya terpulang kepada siasatan BPR Perak.”

Di Ipoh, Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar memberitahu media, laporan awal kes itu telah diserahkan kepada ibu pejabat badan tersebut awal bulan ini.

Bagaimanapun, katanya, itu tidak bermakna siasatan kes berkenaan sudah selesai sebaliknya ia masih diteruskan tetapi menunggu arahan ibu pejabat BPR untuk tindakan selanjutnya.

“Kita sudah hantar laporan awal ke pejabat Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed untuk penelitian tetapi belum terima jawapan kerana beliau belum pulang mengerjakan haji,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Kembara Integriti Pencegahan Rasuah peringkat Negeri Perak 2007 oleh Timbalan Ketua Pengarah II BPR, Datuk Zakaria Jaffar di Plaza Tol Ampang di sini hari ini.

Ditanya mengenai hasil siasatan kes tersebut, Samsiah enggan mengulas sebaliknya mengulangi kenyataan bahawa pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada pihak ibu pejabat.

Kejadian bangunan PTNP yang sepatutnya menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum mendapat liputan meluas selepas dilaporkan di muka hadapan Utusan Malaysia sehari selepas kejadian.

No comments:

web stats