Monday, January 14, 2008

RM2 juta perindah sekitar Pantai Irama

kategori: baik pulih


BACHOK: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi membangun serta mengindahkan Pantai Irama sebagai pusat pelancongan terkemuka di negeri ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata peruntukan itu disalurkan bagi pembinaan dataran letak kereta, taman permainan kanak-kanak, medan seni budaya serta memperindahkan kawasan pantai.

Beliau berkata, medan seni budaya itu akan digunakan untuk menghidup serta memartabatkan kembali program kebudayaan dan kesenian Kelantan selain memberi ruang secukupnya kepada penggiat seni tempatan.

"Dengan ada pentas kesenian dan kebudayaan di Pantai Irama, kita bercadang mengadakan program kebudayaan secara besar-besaran setiap bulan bagi menjadikan program berkenaan sebagai tarikan baru di sini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian selepas menyampaikan bantuan RM70,000 kepada Masjid Mahmudi, Bachok, di sini, kelmarin. Hadir sama, Ketua Jajahan Bachok, Adnan Hussin.

Dr Awang Adek berkata, pembangunan Pantai Irama mampu merancakkan ekonomi penduduk kawasan sekitar Bachok dan memberi banyak peluang perniagaan kepada masyarakat setempat.Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Pusat sentiasa mengambil berat pembangunan institusi masjid melalui peruntukan dari semasa ke semasa bagi menaik taraf masjid untuk kemudahan penduduk.

"Kerajaan Pusat memperuntukkan RM40,000 bagi kerja membaik pulih Masjid Perupok, selain peruntukan RM460,000 bagi membina masjid baru di Kampung Berhala, Jering, dekat sini," katanya.


No comments:

web stats