Monday, January 14, 2008

jambatan berbahaya

kategori ; rosak

Oleh Betty Subaryati

JPS kemuka permohonan dapatkan peruntukan RM50 juta bagi membaik pulih kemudahan rosak akibat banjir

KOTA BHARU: Kira-kira 30 daripada 40 jambatan di seluruh Kelantan yang rosak akibat ditenggelami banjir baru-baru ini, dikenal pasti membahayakan penggunanya.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Lim Chow Hock, berkata dua jambatan di Tanah Merah iaitu di Kampung Bukit Kecil dan Kampung Air Machang adalah paling bahaya untuk dilalui orang ramai.

Beliau berkata, kebanyakan jambatan itu rosak kerana tebing sungai di kawasan terbabit mengalami hakisan akibat arus deras banjir, selain papan pelantarnya reput serta berlubang.

"JPS sudah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat untuk mendapat peruntukan kira-kira RM50 juta bagi membaik pulih pelbagai kerosakan itu selain tebing sungai dan longkang di bawah pengawasan JPS yang rosak.

"Ini kerana bagi projek membaik pulih 40 jambatan yang rosak itu, JPS memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta dan kita menaruh harapan ia akan diluluskan segera oleh Kerajaan Pusat.

"JPS kini dalam proses mendapatkan sebut harga dan jika peruntukan diterima minggu depan, kerja baik pulih oleh kontraktor yang dipilih dapat dilaksanakan segera," katanya di sini, semalam.

Lim berkata, jambatan sekitar Pasir Mas adalah antara paling banyak rosak merangkumi 11 buah berikutan arus deras dan limpahan banjir Sungai Golok sekitar Jenob dan Rantau Panjang.

"Selain itu, diikuti jajahan Tumpat (7); Tanah Merah (5); Machang (4); Kuala Krai (2) dan satu di Jeli.

"Kerosakan jambatan terbabit dikategorikan kritikal dan membahayakan pengguna kerana menjadi laluan penduduk luar bandar untuk berulang alik ke sesuatu lokasi," katanya.

Beliau berkata, jambatan di Kampung Sungai Gobek, Kampung Kelong dan Kampung Jumair dekat Tumpat perlu dibaiki segera kerana menjadi laluan penduduk termasuk pelajar yang berulang alik ke sekolah.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata, setakat ini kerajaan negeri sudah mengambil langkah membaiki dua jambatan di Tanah Merah iaitu di Kampung Jelawang dan Kampung Alor Botol yang hampir runtuh.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM350,000 bagi baik pulih dua jambatan itu dan kini JPS sedang menyediakan kontrak untuk ditawarkan kepada kontraktor," katanya.

No comments:

web stats