Tuesday, November 13, 2007

PBT Selangor gagal capai mutu diberi penyapu

kategori : PBT


Mohamad Khir Toyo menyerahkan penyapu kepada wakil Majlis Daerah Hulu Selangor pada majlis anugerah Bulan Kualiti 2007 di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 12 Nov. – Pada bulan Januari lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pejabat tanah dan daerah (PTD) di negeri itu berusaha membaiki prestasi masing-masing.

Beliau memberi amaran mana-mana PBT dan PTD yang gagal berkhidmat dengan baik termasuk mengutip cukai akan dihadiahkan penyapu sebagai tanda simbolik untuk mereka membuat ‘pembersihan pejabat’ bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Ketika itu banyak pihak menganggap amaran beliau hanya sebagai sesuatu yang melucukan.

Hari ini, pada majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Negeri Selangor 2006 yang diadakan di Shah Alam, Mohamad Khir mengotakan janjinya untuk menghadiahkan ‘penyapu’ kepada Yang Dipertua PBT dan ketua jabatan yang gagal menunjukkan prestasi cemerlang.

Penerima pertama ‘penyapu’ itu ialah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor serta Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Mohamad Khir berkata, pemberian penyapu itu bukan untuk menjatuhkan maruah tetapi bagi membersihkan sikap buruk dan amalan negatif PBT dan jabatan yang tidak mencapai tahap maksimum kualiti perkhidmatan yang telah ditetapkan.

Bagi jabatan yang cemerlang dan mencapai sasaran, kakitangannya diberi insentif seperti lawatan ke luar negara, katanya.

Wednesday, November 14, 2007

Penyapu jadi sumber inspirasi – Tukiman

kategori : PBT

Oleh FAUZIAH AROF


Tukiman Nail.

SHAH ALAM 13 Nov. – “Saya letak penyapu itu dalam pejabat sebagai inspirasi serta iktibar kepada saya dan kakitangan. “Biar apabila tengok penyapu itu, kami semua akan bekerja lebih kuat lagi. Ini merupakan satu cabaran.”

Begitulah luahan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail apabila bercakap mengenai anugerah ‘penyapu’ yang diterimanya kerana gagal mencapai sasaran dalam mengutip hasil cukai, dalam Majlis Anugerah Bulan Kualiti 2007 semalam.

Memang sukar bagi beliau untuk menerima hadiah yang disifatkan sebagai satu sejarah agak perit dalam hidupnya yang telah menerajui pihak berkuasa tempatan itu sejak Jun tahun lalu.

“Ini bukan kejutan... saya telah diberitahu awal beberapa hari mengenai keputusan MDHS akan menerima anugerah tersebut dan Menteri Besar pun dah beri amaran kepada semua ketua jabatan mengenai anugerah ini pada tahun lalu.

“Sesiapa pun memang sukar hendak menerima penyapu sebagai hadiah tetapi saya bersifat budiman, naik juga (ke pentas) dengan perasaan macam-macam,” katanya ketika ditemui sebelum menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini, hari ini.

Semalam, pada majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Negeri Selangor 2006, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada MDHS yang diwakili Tukiman dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor.

Sehingga sekarang, kata Tukiman, beliau menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan yang kebanyakan menyuntik semangatnya untuk terus bekerja kuat.

Bagaimanapun, Tukiman menegaskan, anugerah tersebut diterima bagi kategori kutipan hasil cukai semasa dan tunggakan cukai yang tiada kena-mengena dengan mutu perkhidmatan awam.

“Ini bukan cerita masalah perkhidmatan tidak cekap, jalan berlubang atau tiada lampu jalan. Ini semua (anugerah penyapu) mengenai kutipan hasil cukai,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, kawasan pentadbirannya mempunyai tunggakan cukai RM17 juta manakala cukai yang sepatutnya dikutip ialah RM23 juta.

Kebanyakannya, kata beliau, melibatkan kawasan Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Bandar Sungai Buaya dan Lembah Beringin iaitu kawasan tidak ramai penghuni.

Monday, January 14, 2008

Permohonan ubah suai lulus sejam

kategori : PBT



KUALA LUMPUR: Bagi mempermudahkan urusan kelulusan tambahan dan ubah suai kediaman, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengikut jejak langkah pihak berkuasa tempatan lain dengan melaksanakan proses kelulusan tambahan dan ubah suai siap dalam masa sejam.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata sejak dilaksanakan pada Ogos tahun lalu, enam hingga 20 permohonan diterima setiap hari dan 100 permohonan diterima dalam masa sebulan.

“Setakat ini, kita menerima permohonan yang menggalakkan berikutan kemudahan ini memudahkan urusan ubah suai kediaman kerana pemilik tidak perlu berulang alik ke Menara MPAJ untuk mendapatkan kelulusan.

“Tempoh sejam yang diberikan amat memadai dan menjimatkan masa pemilik kediaman sekiranya semua syarat permohonan sudah dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi ialah pemilik kediaman perlu mengemukakan permohonan pada jam antara jam 8 pagi hingga jam 3 petang dan segala dokumen yang dilampirkan mestilah lengkap mengikut syarat yang ditetapkan pada borang A dan buku panduan.

“Tempoh sejam yang dimaksudkan bermula dari waktu pembayaran dan permohonan yang dikemukakan selepas jam 3 petang hendaklah mengambil kelulusan berkenaan pada keesokan harinya.

“Hanya permohonan yang membabitkan sambungan biasa seperti sambungan belakang, hadapan dan tepi untuk rumah kediaman saja diproses kelulusannya dalam tempoh satu jam dan permit meletak bahan binaan sebanyak RM54 hendaklah dijelaskan ketika mengemukakan permohonan,” katanya.

Norhayati berkata, bagi pemohon yang membuat tambahan pada bangunan seperti penambahan tingkat dan tambahan melebihi 50 peratus dari keluasan asal tidak akan diproses dalam masa sejam.

“Ini kerana pembinaan sedemikian perlu di buat lawatan tapak terlebih dulu dan memerlukan ulasan dari jabatan teknikal lain,” katanya.

No comments:

web stats