Wednesday, July 05, 2006

Matrade

Thursday, July 06, 2006

Matrade: Samy digesa tunai janji segera

Wed Jul 05, 06 10:37:32 AM Oleh Abu Bakar Rahman
KUALA LUMPUR, 5 Julai (Hrkh) - PAS tidak akan berhenti setakat prosedur dalam Parlimen sahaja untuk memastikan Menteri Kerja Raya, Dato' Seri S. Samy Vellu menunaikan janjinya untuk mengambil tindakan yang lebih segera ke atas pihak yang bertanggungjawab atas kelewatan pembinaan bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), kata Ketua Pemudanya, Salahuddin Ayub.
"Kita akan ambil semua langkah yang perlu untuk memastikan Samy Vellu segera menunaikan janjinya kepada Parlimen. Kita tidak berpuas hati sekadar menerima janji sahaja kerana kita tidak tahu berapa lamakah masa yang akan beliau ambil untuk menunaikan janjinya itu. Berapa lama? Satu bulan? Satu tahun? 10 tahun?
"Negara telah menanggung kerugian. Sekadar janji tidak dapat menebus kerugian wang rakyat," tegas beliau.
Semasa menjawab soalan tambahan mengenai kelewatan pembinaan bangunan Matrade, Menteri Kerja Raya berjanji akan "lawan" pihak yang bertanggungjawab atas kelewatan pembinaan bangunan itu.
"Saya sudah ambil perhatian dalam hati saya, ini mesti kita lawan.. Tidak boleh kasi dia lari. Kita ambil tindakan atas dia, siapa dia punya boss, siapa dia punya director, mana dia tubuh, siapa jadi director masa ditubuhkan, semua mesti diambil tindakan.
"Saya janji kepada Dewan yang mulia ini, sampai saya dapat apa-apa arahan dari mana-mana pihak pun kita mesti jalankan. Ini arahan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri," Samy Vellu berjanji.
Salahuddin berkata, tuduh-menuduh antara Samy Vellu dan bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pada masa itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim menambahkan lagi kecurigaannya bahawa "banyak perkara yang tidak kena dalam pembinaan bangunan itu".
Ketika meminta penjelasan mengenai perkara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian meminta Menteri Kerja Raya menamakan semua syarikat yang mengemukakan sebut harga untuk membina bangunan Matrade ketika tawaran dibuat sebelum ia mula dibina pada 1994.
Salahuddin juga meminta Samy Vellu menyatakan jumlah sebut harga yang dikemukakan oleh setiap syarikat yang mengemukakan sebut harga itu dan asas pemilihan Perangsang International Sdn. Bhd. untuk membina bangunan tersebut.
Menurut Menteri Kerja Raya, 14 syarikat telah mengemukakan tender bagi membina dan menyiapkan bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia iaitu Matrade,di Jalan Duta Kuala Lumpur.
Antaranya, Perangsang International Sdn Bhd yang mengemukakan harga tawaran RM153,993,379.99 dengan tempoh siap 156 minggu.
"Lembaga Tender Jabatan Kerja Raya bersidang pada 30 Jun 1993 telah memperakukan Syarikat Ireka Construction Berhad dengan harga RM157,721,431 kepada Kementerian Kewangan. Asas perakuan Jabatan Kerja Raya adalah seperti berikut; harga tawaran kontraktor yang berpatutan, 15% lebih rendah berbanding dengan anggaran Jabatan Kerja Raya.
"Yang kedua, tempoh siap kerja yang boleh diterima. Yang ketiga, beban kerja semasa kontraktor yang tidak terlalu berat - satu projek dalam tangan.
"Tawaran Perangsang International Sdn. Bhd. (PISB) tidak diperakukan kerana harga yang ditawarkan didapati terlalu rendah iaitu 19% lebih rendah daripada anggaran Jabatan. Ini adalah disebabkan PISB menawarkan harga item wall cladding yang terlalu rendah iaitu sebanyak RM3 juta sahaja berbanding dengan anggaran Jabatan Kerja Raya RM15 juta. Di samping itu, PISB telah tidak mengemukakan cadangan reka bentuk wall cladding tersebut," kata Samy Vellu lagi.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kewangan pada 8 September 1993 telah memutuskan supaya tender ini dipanggil semula secara tender terhad di kalangan 14 penender asal.
Akhirnya, pada 10 November 1993, Kementerian Kewangan telah mengarahkan supaya pelaksanaan projek ini dibuat secara runding terus dengan PISB.
Selepas runding, Kementerian Kewangan telah bersetuju meluluskan harga yang dirunding iaitu sebanyak RM167 juta dan pada 18 Disember 1993, surat persetujuan menerima tawaran kepada PISB telah dikeluarkan, kata Samy Vellu.
Mengulas penjelasan Samy Vellu itu, Anwar mendakwa bahawa projek-projek yang dikemukakan oleh Kementerian Kerja Raya ketika beliau menjadi Menteri Kewangan sering 'bermasalah'.
Kerana itu, katanya, apabila berhadapan dengan cadangan dari Kementerian Kerja Raya, para pegawainya terpaksa menelitinya dengan lebih berhati-hati.
"Tidak seperti cadangan-cadangan dari kementerian lain, cadangan-cadangan dari Kementerian Kerja Raya yang diterajui Samy Vellu selalu berdepan dengan masalah di Perbendaharaan.
"Para pegawai kementerian telah diingatkan supaya lebih berhati-hati apabila menteri menunjukkan minat terhadap sesuatu projek itu. Oleh itu, apabila Samy Vellu menunjukkan minat terhadap sesuatu projek, ia menimbulkan kecurigaan di kalangan para pegawai," kata beliau.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, mana-mana projek yang melibatkan campurtangan Samy Vellu akan diteliti sepenuhnya, selari dengan syor yang dibuat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu.
"BPR sentiasa mengarahkan para pegawai lebih berhati-hati apabila menilai tender. Jadi kalau Samy Vellu hendak tahu mengapa sebahagian projeknya dikaji semula, ia adalah kerana Perbendaharaan mencurigai kesahihan projek-projek berkenaan, selain mematuhi prosidur pemilihan tender. Jadi Samy cari penyakit la!" tambah Anwar.
Anwar mahu 'skandal Matrade' itu disiasat dengan teliti bagi memastikan sama ada berlaku perbuatan rasuah atau perbuatan jenayah dalam pengurusan dan pembinaan projek tersebut.
Katanya, siastan teliti perlu dilakukan supaya pihak yang bertanggungjawab dalam skandal ini boleh dikenakan hukuman sewajarnya.
"Tiada siapa patut lepas dari hukuman jika ada berlaku jenayah dalam Matrade, MRR2 atau mana-mana pembinaan projek Kementerian Pelajaran," tegasnya.
Anwar juga menjelaskan beliau tidak terbabit dalam pemilihan kontraktor berkenaan kerana proses pemilihan dibuat oleh jawatankuasa tender yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan.
Timbalan menteri berkenaan ketika PISB dipilih sebagai kontraktor Matrade ialah Datuk Abdul Ghani Othman yang kini menjadi Menteri Besar Johor.
Samy Vellu kemudiannya menjelaskan beliau tidak menjadi Menteri Kerja Raya ketika tender pembinaan projek menara Perbadanan Kemajuan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dikeluarkan pada tahun 1993.
Menurut Setiausaha Akhbarnya, S Sivabalan, antara tahun 1989 hingga 1995 Samy memegang jawatan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Pos.
Sekiranya terdapat sebarang komen, aduan, cadangan, pendapat, rencana atau sebagainya, sila emelkan ke harakahdaily@gmail.com. Artikel akan disiarkan di ruangan Surat Pembaca atau bersesuaian.

No comments:

web stats