Monday, July 24, 2006

Construction in RMK 9

Sekolah pertama RMK-9
Oleh NORLIZAH ABAS dan SITI HANOM HAMDAN

BANGI 22 Julai ? Kementerian Pelajaran hari ini melancarkan projek pertama di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di samping mengotakan janjinya memanggil pemaju dan kontraktor terbabit untuk berucap pada majlis pecah tanah.

Ini ialah kali pertama pemaju dan kontraktor berucap di hadapan penduduk pada majlis pecah tanah untuk memberi akujanji bahawa projek berkenaan tidak akan tergendala.

Majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Kebangsaan Seri Putra di Bandar Seri Putra, di sini disempurnakan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

United Malayan (UM) Land Berhad selaku pemaju diwakili ahli lembaga pengarahnya, Datuk Nur Jazlan Mohamed manakala Pintasia Jaya Sdn. Bhd. sebagai kontraktor pembinaan diwakili Pengarah Urusannya, Mazlan Katimon.

Sekolah pertama di kawasan perumahan berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun dengan 30 bilik darjah bagi kegunaan lebih 1,000 murid.

Buat masa ini, ibu bapa dan murid-murid sekitar kawasan tersebut terpaksa berulangalik lebih 10 kilometer untuk ke sekolah rendah yang paling hampir di Bandar Baru Bangi.

Hishammuddin semasa berucap pada majlis berkenaan berkata, selain memanggil mereka bertemu penduduk, beliau bersama dua timbalannya, Datuk Noh Omar dan Datuk Hon Choon Kim akan ?turun padang? bagi memantau perkembangan projek tersebut supaya semuanya siap mengikut jadual.

??Sebelum ini, kita tidak pernah panggil kontraktor dan pemaju berucap tetapi kali ini kita laksanakan kerana tidak mahu wujud projek terbengkalai.

??Saya anggap mereka yang gagal menyiapkan projek diberi sebagai penderhaka besar kerana menyebabkan anak-anak tidak berdosa gagal ke sekolah,?? ujarnya.

Kelmarin, Hishammuddin berkata, setiap kontraktor yang terlibat dengan projek kementerian di bawah RMK-9 akan diminta memberi janji secara terbuka bahawa mereka akan menanggung apa jua risiko jika projek mereka tergendala.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu dilaksanakan supaya kementerian tidak dipersalahkan oleh mana-mana pihak jika projek berkenaan tergendala atau bermasalah.

Mengenai projek-projek di bawah RMK-9, Hishammuddin berkata, kerajaan meluluskan peruntukan RM23.198 bilion termasuk pendidikan prasekolah (RM327.3 juta), pendidikan rendah (RM4.124 bilion), pendidikan menengah (RM4.521 bilion) dan sekolah sukan (RM256.4 juta).

Beliau memberi jaminan, kontraktor- kontraktor dipilih merupakan mereka yang benar-benar layak selepas disiasat secara terperinci oleh petugas khas kementerian.

Katanya, beliau sudah mengarahkan petugas khas menyiasat kontraktor yang membida tender bagi memastikan mereka tidak berselindung dengan menggunakan nama syarikat lain.

Sehubungan itu, Hishammuddin mengingatkan bahawa kontraktor yang gagal menyiapkan projek RMK-8 tidak akan mendapat projek kementerian di bawah RMK-9


http://www.utusan.com.my

No comments:

web stats