Tuesday, January 16, 2007

Ketirisan

JKR perlu pantau projek elak berlaku ‘ketirisan’

http://www.utusan.com.my

lain2 berita

Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM

SEREMBAN 15 Jan. – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegur Jabatan Kerja Raya (JKR) yang disifatkan gagal memantau dengan baik setiap projek kecil yang dilaksanakan di setiap kawasan Parlimen.

Menurut beliau, kegagalan itu menyebabkan kebanyakan kualiti projek berkenaan terutamanya balai raya dan jalan raya tidak mencapai tahap minimum menyebakan ia mudah rosak.

“Saya pelik kerana setiap tahun bajet untuk projek-projek kecil yang diberikan oleh kerajaan pusat sebanyak RM3 juta kepada Parlimen di negeri ini banyak dihabiskan untuk baik pulih balai raya dan jalan raya.

“Setiap tahun projek yang dibuat ialah baiki balai raya dan jalan, benda ini berlaku adakah kerana kualiti pembinaannya yang teruk atau dasar dan polisi JKR sendiri yang perlu dirombak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perjumpaan dengan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta pegawai-pegawai kerajaan di sini hari ini.

Mohamad berkata, setiap tahun kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sehingga berpuluh-puluh juta kepada kawasan Parlimen untuk menyediakan projek-projek kecil tetapi sayangnya berlaku ‘ketirisan’.

Beliau percaya ‘ketirisan’ berlaku bukannya di peringkat tender kerana ia dibuat secara cabutan undi tetapi kemungkinan besar ia berlaku di peringkat pemantauan badan pelaksana agensi kerajaan seperti JKR.

“Agensi kerajaan kena pastikan setiap projek yang diperoleh dibuat dengan secara betul mengikut spesifikasi dan prosedur yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Justeru itu, katanya, sekiranya ‘ketirisan’ berlaku kerana dasar atau prosedur yang sudah lapuk, maka jabatan kerajaan perlu mengenal pastinya termasuk merombak bagi disesuaikan dengan kehendak dan kepentingan semasa tanpa membelakangkan undang-undang.

No comments:

web stats