Saturday, October 06, 2007

Bina dan jual dilulus -- Pembeli rumah bayar 10%, baki selepas siap - Najib


Oleh: ROZAMAN ISMAIL dan HELMI MOHD FOAD

PUTRAJAYA 22 Jun 2006- Kerajaan hari ini bersetuju memperkenalkan pembinaan projek perumahan menggunakan konsep ‘bina dan jual' yang hanya memerlukan para pembeli membayar pendahuluan 10 peratus harga jualan dan bakinya dilunaskan selepas rumah siap.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, buat permulaan konsep ini akan dicuba oleh pemaju-pemaju selama dua tahun dengan pemantauan kerajaan.

“Selepas dua tahun, sekiranya ia lebih baik (daripada kaedah konvensional sekarang) kerajaan akan meneliti semula dasar ini.

“Bagaimanapun kaedah konvensional tidak akan dimansuhkan dan ia berjalan selari dengan konsep baru ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-54 di sini hari ini.

Konsep bina dan jual ini sebelum ini banyak dicadangkan oleh pihak pengguna ekoran projek-projek rumah terbengkalai yang banyak membebankan rakyat.

Menurut Najib, keputusan yang dicapai hari ini merupakan keputusan secara prinsip sahaja dan perincian pelaksanaannya akan dibincangkan secara kes demi kes dengan kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kata beliau, ini kerana terdapat syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi pemaju seperti jumlah rumah kos rendah dan sederhana yang perlu dibina berdasarkan kawasan tertentu dan permintaan setempat.

Menjelaskan perkara tersebut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, pemaju yang memilih konsep ‘bina dan jual' akan diberikan pakej insentif antaranya dikecualikan bayaran deposit bagi mendapatkan lesen memajukan projek.

Katanya, pada masa sekarang pemaju sekurang-kurangnya perlu membayar deposit sebanyak RM200,000.

Beliau berkata, pemaju yang menggunakan konsep baru itu juga akan memperoleh kelulusan yang lebih cepat berbanding tempoh sedia ada dan kelonggaran dari segi keperluan membina rumah kos rendah di tapak yang akan dibangunkan.

‘‘Katakan di lokasi yang sudah ada rumah kos rendah, mereka boleh bina rumah kos sederhana, perincian mengenai perkara itu adalah bergantung kerajaan negeri dan kementerian akan berbincang dengan mereka.

‘‘Ini semua akan dijadikan pakej untuk dipilih oleh pemaju, kalau pemaju tidak guna sistem bina dan kemudian jual, maka mereka kena patuh kepada syarat sedia ada iaitu deposit, rumah kos rendah perlu dibuat secukupnya dan masa menunggu untuk mendapatkan lesen adalah seperti biasa,” katanya.

Menurut Najib, konsep yang sedia ada masih diterus diamalkan setelah kerajaan mengambil kira syarikat pemaju kecil dan sederhana yang tidak mempunyai modal besar.

‘‘Jangan lupa pemaju kecil dan sederhana, barangkali mereka boleh gulung tikar kerana tidak ada kemampuan untuk menggunakan konsep bina dan jual ini,” katanya.

Sementara itu, kata Timbalan Perdana Menteri, mesyuarat tersebut juga bersetuju memperkenalkan dasar penjualan sebahagian daripada rumah yang dibina di bawah program perumahan untuk rakyat kepada para penyewanya.

Katanya, ia dibuat setelah kerajaan menerima banyak permohonan dan rayuan supaya penghuni-penghuni yang menyewa di situ diberi peluang membeli rumah yang mereka diami secara menyewa selama ini.

‘‘Rumah-rumah rakyat itu sebelum ini dibina khusus untuk menyelesaikan masalah setinggan dan kita terima banyak permohonan dan majlis bersetuju supaya dasar membenarkan penghuni membeli rumah-rumah di bawah program perumahan rakyat diperkenalkan,” katanya.

Najib berkata, rumah-rumah tersebut akan dijual dengan harga RM35,000 seunit di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak harganya 20 peratus lebih tinggi.

Dasar ini kata beliau, akan dibincangkan secara terperinci dengan semua kerajaan negeri dan DBKL untuk menentukan kawasan perumahan mana yang akan terlibat dengan dasar itu dan kawasan mana pula yang akan kekal di bawah skim sewaan.

‘‘Ini kerana ada juga dalam satu kawasan perumahan yang mana mana penjualannya berdasarkan kepada blok. Mana blok yang akan disewa dan mana blok yang dibenarkan dijual kepada penghuni,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, segala urusan penjualan dibuat melalui bank dan institusi kewangan dan kerajaan akan mengenakan beberapa syarat seperti tidak dibenarkan pindah milik selama 10 tahun.

No comments: