Wednesday, December 19, 2007

Rumah diresapi air


AMPANG: Kebocoran tangki utama di Blok B, Pangsapuri Sri Baiduri di Ukay Perdana di sini, menjadi semakin serius apabila dinding rumah penduduk mula retak.

Empat rumah di tingkat empat pangsapuri itu mengalami kesan paling teruk, apabila air menitis dari siling sehingga merosakkan struktur kayu dalaman rumah.

Aduan sudah dibuat wakil penduduk kepada pengurusan pangsapuri itu dan sebagai langkah sementara, mereka menampal simen di tempat yang terjejas.

Bagaimanapun, masalah sama masih berulang menyebabkan penduduk tidak puas hati terhadap pengurusan pangsapuri yang tidak mengikut piawaian.

Menurut seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, air yang menitis dari siling rumahnya meninggalkan tompok hitam di beberapa tempat dan berkulat.

"Masalah ini makin serius sejak dua tahun lalu dan aduan kepada pihak pengurusan pangsapuri tidak mendatangkan sebarang manfaat, melainkan tangki itu diganti.

"Kebocoran pada bahagian dasar tangki punca utama masalah ini, jika tidak diambil perhatian mungkin satu hari nanti siling rumah akan runtuh," katanya.

Juruteknik Suruhanjaya Bangunan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Roziha Abd Aziz, berkata pihaknya sudah menghantar surat kepada pengurusan pangsapuri berkenaan berhubung masalah berkenaan, 10 Disember lalu.

Bagi aduan yang dibuat, pihaknya hanya boleh mengeluarkan surat untuk mengarahkan pengurusan memperbaiki kebocoran.

No comments: