Sunday, December 23, 2007

Syarikat tempatan labur RM38j kilang buat lantai


Oleh Abdul Razak Din

GERIK 22 Dis. – Sebuah syarikat tempatan bercadang melabur sebanyak RM38 juta untuk membangunkan kilang membuat lantai daripada buluh di Bandariang di sini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Beliau berkata, pembinaan kilang tersebut dapat membantu merancakkan lagi pembangunan di daerah Hulu Perak yang sedang dibangunkan dengan projek Northgate berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

‘‘Kita berharap projek ini dapat disegerakan supaya ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan merancakkan pembangunan ekonomi di utara Perak,” katanya kepada pemberita selepas menemui penduduk di Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, Bandariang berdekatan Felda Bersia merupakan kawasan paling banyak ditumbuhi buluh pelbagai spesies yang sesuai untuk dijadikan produk komersial.

Dalam hubungan ini, Mohd. Tajol Rosli berkata, pihaknya tiada masalah untuk meluluskan projek tersebut kerana ia akan memberi pendapatan kepada kerajaan negeri dan penduduk.

Sebelum ini beliau mengumumkan bahawa kawasan perlombongan bijih timah terbesar di Perak di Klian Intan di sini yang dimiliki oleh Rahman Hydraulic Sdn. Bhd akan dibangunkan semula oleh Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC).

Beliau berkata, pembukaan semula kawasan perlombongan yang terhenti semasa kejatuhan harga timah itu mampu memberi peluang pendapatan ekoran kenaikan tinggi harga timah sekarang.

Katanya, kerajaan negeri menganggarkan memperoleh royalti berjumlah sekurang-kurangnya RM1 juta setahun melalui pembukaan kawasan bijih timah ini.

No comments:

web stats