Sunday, December 23, 2007

Sekolah retak gegaran

Forum


PARA penduduk telah digemparkan dengan berita gegaran yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

Walaupun pihak berkuasa menasihatkan penduduk terlibat tidak panik kerana gegaran yang berlaku hanyalah gegaran kecil yang tidak memberi kesan kepada kerosakan yang nyata namun kami yang mempunyai anak-anak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi merasa bimbang dengan fenomena ini.

Kami penduduk yang tinggal di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik hampir setiap hari merasa gegaran.

Sepanjang tahun lepas dan tahun ini, anak-anak kami ada beberapa kali menceritakan tentang keretakan besar yang begitu banyak terdapat di lantai dan dinding sekolah yang mula beroperasi pada tahun 2003 ini.

Saya sendiri beberapa kali pernah datang ke sekolah semasa majlis perjumpaan dengan ibu bapa ataupun mesyuarat agung PIBG dan saya dapat menyaksikan sendiri betapa kritikalnya keretakan ini berdasarkan keretakan pada longkang dan dinding di tingkat bawah.

Saya juga dapat melihat betapa bangunan ini kelihatan hampir condong ke arah gaung di belakang sekolah.

Apa yang lebih membimbangkan, saya dimaklumkan bahawa di blok yang retak inilah ditempatkan kelas anak-anak dari tingkatan 1 dan 2, lebih membahayakan mereka ditempatkan di tingkat 4.

Saya merasa sungguh sedih dan kesal dengan pentabdiran sekolah yang nampaknya cuba untuk menutup masalah ini hanya dengan menampal keretakan dan seterusnya asyik menuding jari ke arah PPD dan JPNP apabila disoal oleh pihak ibu bapa.

PIBG juga nampaknya hanya mendiamkan diri. Janganlah dah terhantuk baru terngadah, jangan tunggu sekolah sudah runtuh baru melatah, jangan ada nyawa melayang, baru buat siasatan.

– BAPA TERTEKAN,

Bentong, Pahang.

No comments:

web stats